Tuesday, December 2, 2008

Restoran Halal di Ho Chi Minh City, Vietnam


Di Bandar Ho Chi Minh, agak mudah untuk mencari makanan halal kerana komuniti penduduk yang beragama Islam agak ramai di sini. Ini dapat dilihat dengan kehadiran masjid-masjid yang banyak di bina di sekitar bandar ini. Restoran Bombay ini terletak di 59 Dong Du, District 1 dan betul-betul berhadapan dengan pintu masuk Hotel Sheraton Saigon.

Ini pula sebuah kedai yang terletak di Food Court di dalam Bangunan Parkson. Ianya terletak di sebelah Hotel Asian di mana tempat kami menginap iaitu di Dong Khoi Street.

Ini pula Restoran Four Season. Resoran ini menghidangkan masakan Malaysia dan ianya agak popular kerana pernah muncul di dalam Rancangan Jalan-Jalan Cari Makan. Ianya terletak di Thi Sach Street, District 1. Ia juga terletak berhampiran Hotel Sheraton Saigon tetapi kena berjalan agak jauh sedikit.

Ini pula restoran kegemaran kami. Walaupun terletak agak jauh di District 10, tetapi agak berbaloi pergi ke sana kerana makanannya agak murah. Ia juga menghidangkan menu makanan Malaysia. Kalau datang ke sini, jangan lupa memesan segelas Kopi Vietnam. Pasti anda tidak dapat lupakan keenakaan rasanya.

Sunday, November 23, 2008

Menu Istimewa Di Shanghai


Sate ini terdapat di Gerai En Ismail di Jiaozhuan Rd.
Jika anda tak tahan pedas, hati-hati dengan sate ini. Boleh dikatakan rasanya amat pedas.
Ini pula Flolon Pizza. Juga terdapat di gerai ini. Saya hanya dapat berjumpa dengan penjual pizza ini pada hari ahad sahaja. Tak tahu kenapa sebab semua pekerja di gerai ini tidak tahu berbahasa inggeris. Ini merupakan campuran tepung dan telur di letak di atas kuali leper yang menyerupai kulit popia.
Kemudian bahan-bahan seperti sayuran dan kuah pedas diletak di atas tepung yang sudah garing. Ia kemudian dilipat dan dipotong dua.

Sedia untuk dimakan. Rasanya enak.
Ini pula Mi Tarik. Jika anda ke sini jangan lupa memesannya kerana ianya merupakan menu istimewa di gerai ini. Pekerja ini sedang menarik tepung yang agak pejal untuk dijadikan mi.
Kemudian, tepung yang sudah ditarik berbentuk mi di rebus di dalam air yang sedang mendidih.
Mi Tarik Sup
Mi Tarik Goreng

Makanan Halal Di Shanghai, China


Gerai Makanan ini terletak di Jiaozhuan Rd berhampiran dengan restoran Burger King. Untuk anda ke sana, hanya menaiki Metro train ke JingAn Temple Station dengan menggunakan line 2 berwarna hijau. Ianya terletak di tepi jalan dan agak mudah dilihat. Ia juga terletak berhampiran Le Tour Traveler's Rest Youth Hostel yang merupakan salah satu hostel di dalam rangkaian Hostelling International (HI). Gerai ini kepunyaan En Ismail. Walaupun tidak dapat berbahasa Inggeris, tetapi En Ismail ada menyediakan menu di dalam bahasa inggeris. Dengan menggunakan isyarat tangan, tunjukkan sahaja menu yang anda ingin pesan.

Antara menu yang terdapat di sini, Mi tarik sama ada sup atau goreng, Nasi putih dengan daging lembu atau daging kambing dan juga yang pasti anda kena cuba ialah sate istimewanya. Sate di sini memang sedap tetapi awas kerana ianya agak pedas.

Antara menu yang terdapat di sini. Nasi putih dan daging goreng.

Tuesday, November 4, 2008

2007 Asian Marketing Seminar


Pada 30 Nov 2007, Saya telah menghadiri Asian Marketing Seminar yang telah diadakan di Seoul, Korea. Seminar yang telah dihadiri oleh lebih 10 buah negara ini telah dianjurkan oleh Korea Hosteling International. Antara tujuan seminar ini diadakan adalah untuk merancang dan mengenalpasti potensi Asrama Belia yang terdapat di Rantau Asia dan berkongsi idea dan perancangan bagaimana untuk memasarkan Asrama Belia ini dengan lebih giat lagi serta mempromosikan persatuan ini dikalangan belia di rantau asia.
Saya dan Setiausaha Kehormat telah mewakili Persatuan Asrama Belia Malaysia telah menghadiri seminar ini. Kami telah tiba awal di seoul disebabkan kami ingin melawat di sekitar Seoul. Dengan bantuan rakan-rakan kami di sana, kami telah menginap di Hotel Kaya yang terletak berhampiran Seoul Station.

Kami sempat ke Itaewoon, sebuah bandar yang agak popular untuk pelancong asing kerana di sini terdapat hotel dan restoran yang menghidangkan masakan antarabangsa seperti western restoran dan restoran dari timur tengah. Makanan halal juga terdapat di sini kerana terdapat sebuah Masjid terletak di kawasan ini. Walaupun harganya agak mahal, tetapi cukup bebaloi bagi sesiapa yang rindukan daging dan ayam.
Setelah dua malam di Kaya Hotel, kami telah berpindah ke Seoul Olympic Parktel di mana tempat berlangsungnya seminar ini. Hotel ini merupakan hotel yang dibina bersempena dengan sukan Olympic di Seoul dan ianya terletak berhampiran Olympic Park dan Muzium Olympic. Saya difahamkan hotel ini dibina hasil sumbangan daripada ahli perniagaan Korea yang berniaga di luar negara sebagai tanda sokongan mereka ke atas penganjuran sukan Olympic.
Mengadakan perbincangan dua hala mengenai program pertukaran belia antara negara peserta.
Berada di hadapan The World Peace Gate yang dibina sempena Sukan Olympic 1988
Berada di Olympic Park.
Berada di tengah Kota Seoul. Cuaca agak sejuk menghampiri 0 darjah celcius. Satu pengalaman yang agak baru sebab sebelum ni belum pernah rasa cuaca yang sesejuk ini. Pada mulanya agak seronok tetapi lama-kelamaan mula rasa tak selesa kerana bibir mula merekah dan kulit mulai gatal kerana cuaca yang sejuk dan kering. Rasa tak sabar nak balik Malaysia.

Saturday, November 1, 2008

Japan ASEAN Youth Leader Summit 2007


Pada 25 Oktober 2007, saya telah dijemput untuk menghadiri Majlis Perasmian Japan ASEAN Youth Leader Summit 2007 yang telah diadakan di Tokyo, Jepun. Program ini diadakan bersempena dengan Program Pelayaran Kapal Belia ASEAN dan Jepun yang telah dianjurkan oleh Kabinet Office of Japan. Pada program kali ini saya telah membawa isteri saya kerana sejak dari kecil lagi isteri saya bercita-cita untuk menjejakkan kaki di negara matahari terbit ini. Alhamdulillah, akhirnya cita-citanya tercapai.
Pada kali ini, kami telah memilih untuk menggunkan perkhidmatan North West Airlines disebabkan harganya agak murah iaitu kira-kira RM1,500.00 untuk perjalanan pergi dan balik. Ia merupakan penerbangan dari Singapore ke Narita. Ia merupakan satu perjalanan yang agak mencabar kerana terpaksa transit di Singapore selama 5 jam kerana jadual perjalanan ke Narita pada jam 6 pagi dan flight terakhir ke Singapore adalah pada jam 12 malam. Kami terpaksa bermalam di Cangi Airport sementara menunggu penerbangan ke Narita, Jepun.
Setelah mengharungi perjalanan selama 8 jam, akhirnya saya tiba di Tokyo, Jepun. Daripada Narita Airport, kami menaiki keretapi terus ke Sinjuku dimana rakan saya telah menunggu di sana untuk menguruskan urusan pendaftaran masuk ke Hotel. Kami telah menginap di Hotel Presso Inn yang terletak di Sinjuku. Harganya lebih kurang RM 280 seorang untuk satu malam.
Pada keesokkan harinya, kami mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan di sekitar bandar Tokyo. Kami merancang untuk ke Disneyland walaupun kami telah diberitahu oleh pihak hotel cuaca pada hari ini agak tidak baik dan kami akan menghadapi taufun di Disneyland. Dengan keadaan hujan renyai, kami teruskan juga niat kami kerana kami agak kesuntukan masa disini dan terpaksa merancang jadual dengan teliti supaya segala yang telah kami rancang tidak terganggu dan akan merugikan kami yang datang dari jauh.

Walaupun terpaksa mengharungi hujan renyai-renyai, kami tiba di Taman Tema Disneyland. Kedatangan kami bersama ribuan pengunjung yang lain membuatkan kami rasa sungguh teruja. Bagai tidak percaya, akhirnya kami dapat menjejakkan kaki di sini. Kedatangan kami disambut dengan maskot taman ini iaitu Mickey Mouse. Walaupun terpaksa berpayung sepanjang masa di dalam taman ini, kami mula menjelajah seluruh taman yang amat tersohor ini. Beberapa program termasuk perarakan watak-watak kartun Disney terpaksa dibatalkan menjelang petang kerana hujan mulai lebat diikuti dengan angin kencang. Persembahan bunga api di Istana juga dibatalkan. Walaupun sedikit kecewa, kami tetap gembira berada di Taman ini. Keadaan mulai tidak berapa selesa buat kami dengan keadaan kami basah kuyup kerana payung kami pun dah rosak ditiup angin kencang. Kami mengambil keputusan untuk pulang ke hotel.
Pada keesokan harinya, kami bertolak untuk menghadiri Majlis Perasmian Japan ASEAN Youth Leader Summit yang telah diadakan di National Olympics Memorial Youth Center. Kami bertolak awal dari hotel kerana kami ingin melawat Tokyo Tower sebelum kami ke sana kerana antara keduanya agak berdekatan.

Berada di National Olympics Memorial Youth Center sebelum Majlis Perasmian.

Persembahan kebudayaan daripada wakil negara peserta.

Selesai sahaja majlis perasmian dan persembahan kebudayaan, kami dibawa untuk menyaksikan pameran daripada negara-negara peserta dan disana kami telah diberikan sedikit penerangan. Kami berkesempatan untuk berkenalan dengan para peserta dan berpeluang bertemu dengan peserta-peserta dari Malaysia. kami pulang ke hotel setelah acara tamat kira-kira jam 5 petang. Di Jepun pada jam 5 petang keadaannya sudah gelap dan amat berbeza sekali jika dibandingkan dengan Malaysia.

Berada di antara ribuan manusia yang berpusu-pusu membeli belah di Jalan Takeshita di Harajuku yang terkenal sebagai tempat berkumpul peminat-peminat Anime yang akan memperagakan fesyen masing-masing pada hujung minggu.

Ribuan manusia di Zebra Crossing di Shibuya yang terkenal sebagai antara tempat paling sibuk sekali di Tokyo. Ribuan orang yang tak putus-putus ingin melintas jalan yang tidak dapat dikenalpasti daripada mana mereka datang.
Ini serba ringkas sedikit catatan dan kenangan semasa kami di Tokyo, Japan. Walaupun bayak lagi kenangan yang indah dan menarik semasa kami di sana, buat setakat ini cuma disini saja yang dapat saya catatkan.

Friday, October 31, 2008

2007 Asia Pacific Youth Rally, Seoul Korea


Pada 27hb hingga 29hb Julai 2007, saya telah mengikuti Asia Pacific Youth Rally buat kali pertama yang dianjurkan oleh Hostelling International Of Korea. Program ini telah diadakan di Olympic Parktel dan telah disertai oleh beberapa negara dari rantau Asia Pacific. Buat pertama kali juga saya menjejak kaki ke bumi Korea.
Cuaca pada waktu ini amat panas kerana pada bulan Julai merupakan musim panas di Korea. Walaupun kita lihat seperti berjerubu, tetapi bahang panas cukup untuk membuatkan kita berpeluh dan sentiasa inginkan minuman yang sejuk.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program ini adalah Pameran Kebudayaan Rakyat Korea, perbincangan berkumpulan, pembentangan kumpulan, persembahan kebudayan daripada setiap negara, melawat tempat-tempat menarik sekitar Seoul, Jamuan Makan Malam dan juga aktiviti untuk peserta luar iaitu tinggal bersama keluarga angkat selama 2 malam. Untuk aktiviti keluarga angkat, ianya diadakan selepas program ini berakhir.


Mencuba pakaian traditional Rakyat Korea

Korean Pizza. Pizza ini berasaskan makanan laut

Kontinjen Malaysia bergambar di Seoul Tower

Bersama keluarga angkat

Makanan Korea. Terdiri daripada Sup Tahu, Nasi seperti pulut dan sayur taugeh

Di Muzium Olympic

Tuesday, October 28, 2008

Bersantai di Johor

Pada tanggal 22hb ogos 2008, saya sekeluarga telah ke Johor Bahru untuk menghadiri majlis perkahwinan sahabat kami. Bersempena dengan itu, saya telah mengambil kesempatan untuk bercuti di Johor Bahru kerana sudah agak lama saya tidak ke sana. Di Johor Bahru, kami telah menginap di The Zon Regency Hotel. Sebuah hotel yang agak besar menghadap terus Negara Singapura. Pada mulanya kami bercadang ingin ke Singapura, tetapi disebabkan kesuntukan masa kami tidak dapat meneruskan niat kami ke sana.

Pemandangan dari balkoni di luar bilik.

Selesai sahaja urusan check in, kami terus keluar ke Restoran Singgah Selalu yang terletak berhampiran Danga Bay. Di Restoran ini, pelbagai sajian masakan asli Johor ada dihidangkan. Bagi kami yang tengah lapar ni, kami telah mencuba pelbagai jenis sajian termasuk lauk pauk dan juga kuih muih tradisional Johor. Rasa makanan dan layanan yang terdapat di restoran ini amat memuaskan.

Antara tempat-tempat yang sempat kami lawati adalah Danga Bay. Satu tempat berhampiran tambak johor dan bermacam-macam tarikan untuk pelancong telah disediakan di sini. Antaranya Pusat Kraftangan, Pusat Jualan, Taman Hiburan, Mini Zoo, Mini Train dan juga Gerai-gerai Makanan Laut yang sedia menanti anda. Terdapat juga sebuah kawasan yang di Panggil Rumah Limas, di mana di sini dibina rumah-rumah tradisional Negeri Johor.
Menaiki Train mengelilingi Danga Bay.

Rumah Limas

Setelah puas dan penat berjalan di sekitar Danga Bay, perut pun terasa lapar. Kami telah memilih salah sebuah gerai makanan laut yang terdapat di situ. Makanan laut di situ telah dihidangkan secara ala Johor. Rasanya amat menyelerakan.

Pada keesokan harinya, kami meninggalkan The Zon menuju ke Plentong bagi menghadiri Majlis Perkahwinan rakan kami. Setelah selesai, kami pun pulang ke Kuala Lumpur.