Monday, August 4, 2008

Program Khidmat Sosial Negara ke Negara Laos

Pada tanggal 13 Oktober 2002, bagaikan tidak percaya saya mula menjejaki sebuah negara asing. Selama ini sebagai anak muda yang hanya mempunyai impian dan cita-cita untuk ke negara luar tetapi segalanya bagaikan mimpi setelah diberikan peluang oleh Pihak Kementerian Belia dan Sukan melalui Program Khidmat Sosial Negara ke Negara Laos. Pada asalnya peluang ini datang pada tahun 2001, tetapi disebabkan pada waktu itu masih bertugas di salah sebuah syarikat IT , hasrat itu terpaksa dilupakan dan diserahkan kepada teman seperjuangan yang lain.

Pada tahun 2002, sekali lagi dipanggil ke temuduga program yang sama dan peluang ini tidak dilepaskan lagi setelah meletakkan jawatan secara sukarela atas alasan ingin berdikari dan ingin bergelar usahawan. Setelah bekerja sendiri, maka mulalah satu episod kehidupan yang baru di dalam dunia belia ini dan dapat memberikan sepenuh komitmen di dalam program-program belia termasuk Rakan Muda. Akhirnya, saya telah terpilih untuk mewakili Malaysia di dalam program ini ke Negara Laos. Seramai 12 orang belia di seluruh negara telah terpilih di dalam program ini setelah menghadiri proses temuduga yang telah diadakan. Anak-anak muda di lingkungan umur 20 - 25 tahun ini telah terlibat di dalam program khidmat masyarakat di sana. Antarnya kami telah bergotong-royang mengecat masjid dan mengadakan gotong-royong membersihkan sekolah yang boleh dikatakan amat daif pada waktu itu. Selain daripada gotong-royong, kami juga telah dibawa melawat ke National Universiti Of Laos dan ke sebuah sekolah menengah di mana pihak MIMOS daripada Malaysia telah menaja sebuah makmal komputer di sana.

Semasa di sana, Kami telah menginap di Hotel Dansavaan milik seorang rakyat Malaysia yang berasal dari Ipoh, Perak. Pihak kedutaan Malaysia telah mencadangkan kami menginap di sana kerana kami boleh mendapat makanan halal yang telah diuruskan oleh pihak kedutaan. Perjalanan dari lapangan terbang ke hotel hanya memakan masa 10 minit oleh kerana hotel tersebut terletak berhampiran lapangan terbang. Antara tempat-tempat menarik di Bandar Vientine, Laos ialah Menara Pattuxay, Sungai Mekong yang memisahkan antara Laos dan Thailand, Muzium Kebangsaan dan beberapa tempat yang lain. Untuk catatan perjalanan ini, mungkin banyak maklumat tidak dapat diceritakan kerana buku catatan yang dibuat sepanjang perjalanan ini tidak dijumpai dan masih berusaha mencarinya. (gambar di atas merupakan sebuah masjid yang terletak di perkampungan Islam di Bandar Vientine di mana penulis sedang mengecat salah satu menara di masjid tersebut).
Antara pengalaman yang tidak dilupakan oleh saya yang pertama kali menjejaki negara luar ialah kami telah pergi ke sebuah perkampungan kira-kira 2 jam perjalanan menaiki bas daripada bandar Vientine. Di kampung tersebut penduduknya amat daif dan agak sukar untuk mencari tandas kerana mereka tidak pernah menggunakan tandas. Semasa di sana, kami telah membawa peralatan memasak kami sendiri dan penduduk kampung telah datang menyaksikan kami bergotong-royong membersihkan sekolah dan kemudian memasak makanan untuk dinikmati bersama penduduk kampung. Lauk yang agak ringkas iaitu sambal ikan sardin, telur goreng dan juga sayur kobis. Apa yang memeranjatkan kami, pada keesokan harinya penduduk kampung telah memasak lauk yang serupa untuk kami dan tidak membenarkan kami memasak pada hari tersebut. Dalam keadaan terpaksa dan kasihan di atas usaha penduduk kampung itu, kami memakan secara ala kadar dan untuk mengalas perut yang sememangnya lapar. Bukan sengaja untuk kami berbuat demikian, tetapi memikirkan kebersihan dan keselamatan kesihatan kami memandangkan keadaan kampung tersebut. Penduduk kampung juga telah mengadakan majlis perpisahan untuk kami di mana kami telah dipakaikan benang di tangan atas lambang persahabatan dan dijamukan dengan kuih muih tradisional dan juga ayam panggang. Atas alasan agama, kami telah menolak secara baik untuk makan ayam panggang tetapi kuih muih berasaskan pulut dan nasi tetap kami nikmati. Kami amat terharu di atas layanan mereka walaupun kami tidak dapat bercakap di sebabkan masalah perbezaan bahasa dan terpaksa menggunakan khidmat jurubahasa.
Setelah kira-kira 10 hari menetap di sana, dengan hari yang sedih bercampur gembira, kami berangkat pulang ke Malaysia. Seperti mana kami datang dahulu, kali ini juga kami singgah di Bangkok, Thailand kerana perkhidmatan laluan terus Kuala Lumpur ke Vientien masih belum ada lagi. Pada 23 Oktober 2002, kami menjejaki semula Kuala Lumpur dengan rasa bersyukur kerana selamat pulang ke tanah air dengan rasa bangga. Misi kami selama 10 hari di sana telah berjaya kami laksanakan walaupun agak rasa keletihan di sebabkan keadaan cuaca di sana yang agak panas terik.

1 comment:

Aishah Marsin said...

Assalamualaikum~
Saya Aishah, seorang pelajar tahun 4 dari usm.
kami bercadang nak membuat suatu projek merentasi negara ke laos untuk melakukan khidmat masyarakat....
daripada blog encik, saya sgt berharap jika saya boleh mendapat respon dari encik tentang perjalanan ke sana, siapa yang perlu dicontact, kerana projek kami merangkumi 10 org pelajar sahaja dan ingin pergi selama seminggu. kami ingin membuat kertas kerja namun tiada orang yang boleh dicontact di sana. kami akan ditaja oleh yayasan sukarelwan siswa sepenuhnya.
harap encik dapat menolong saya daripada segi prosedur untuk ke sana