Friday, October 24, 2008

SSEAYP General Assembly Cambodia 2007


Pada 28 April hingga 1 Mei 2007, telah berlangsung SSEAYP International General Assembly di mana pada tahun ini, Negara Cambodia telah menjadi tuan rumah. Program ini telah diadakan di Siem Reap, iaitu sebuah kawasan di Cambodia yang terkenal dengan binaan Angkor Wat. SSEAYP International General Assembly atau dikenali sebagai SIGA merupakan program perjumpaan tahunan bagi bekas peserta Program Kapal Belia ASEAN dan Jepun dan diadakan secara bergilir di antara negara-negara ASEAN dan Jepun.
Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 60 orang peserta telah menyertai program pada tahun ini. Ia merupakan kontinjen paling ramai sekali berbanding negara ASEAN yang lain.

Antara aktiviti-aktiviti yang diadakan sepanjang program ini ialah forum, diskusi, Jamuan Makan Malam, Persembahan Kebudayaan dan juga lawatan. Antara objektif utama ianya diadakan adalah untuk merapatkan hubungan diantara bekas peserta kapal yang bermula pada tahun 1974.

Semasa di Siem Reap, kami berkesempatan mengunjungi Masjid Neak Mah yang terletak berhampiran Bandar Siem Reap dan di tengah-tengah perkampungan Islam di sana.

Kami juga telah di bawa ke Angkor Wat di mana ianya merupakan sebuah kawasan sejarah dan ianya telah diwartakan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO. Binaan yang telah berusia ratusan ribu tahun ini masih kukuh dan dibuka untuk kunjungan para pelancong.

Seperti juga di Thailand, di sini juga terdapat tut-tut yang merupakan salah sebuah pengangkutan awam yang popular. Dengan hanya membayar USD2, anda akan di bawa ke destinasi pilihan anda.

Setelah tamat persidangan kami, kami telah berangkat ke Phnom Phen, iaitu ibu negara Cambodia. Tak lengkap rasanya kunjungan ke Cambodia jika kami tidak ke Phnom Phen. Semasa di Phnom Phen, kami telah dibawa melawat Istana Di Raja dan juga ke Rusian Market di mana ianya merupakan kawasan membeli belah yang agak popular di Bandar Phnom Phen.


Kami juga telah di bawa ke Muzium Tuolsleng Genocide. Muzium ini merupakan sebuah muzium kesan peninggalan kekejam Rejim Pol Pot. Ianya merupakan sebuah sekolah di tengah bandar Phnom Phen di mana di zaman kekejaman Pol Pot, ianya telah dijadikan penjara dan tempat mendera serta membunuh para cendikiawan dan penentang yang terdapat di Cambodia. Sehingga hari ini masih terdapat kesan-kesan daripada penderaan seperti tengkorak, kesan darah dan bekas terbakar di muzium ini. Kami di fahamkan kesan-kesan ini sengaja tidak dibersihkan untuk dijadikan bahan sejarah dan kenangan untuk masyarakat Cambodia supaya mengingati kekejaman Pol Pot.

Setelah 2 hari berada di Phnom Phen, kami berangkat pulang ke Malaysia.

Cuti-cuti di Thailand


Pada 22 Dec 2007 yang lalu, saya bersama-sama keluarga telah bercuti ke Bangkok, Thailand. Percutian selama 3 hari 2 malam ini telah diuruskan sepenuhnya oleh rakan-rakan di Hostelling International Thailand.

Kami telah menginap di HI Far East Inn yang terletak di Kawasan Pratunam yang terkenal dengan kawasan membeli belah. Antaranya Platinum Mall dan Central World Plaza. HI Far East Inn ini merupakan salah sebuah hotel di dalam rangkaian Hostelling International (HI).

Di kawasan Pratunam, agak mudah untuk mendapatkan makanan halal kerana terdapat sebuah masjid yang terletak di Phetchaburi Road. Masjid ini dikenali sebagai Masjid Darul Aman. Salah sebuah restoran yang menjadi kegemaran kami ialah Restoran Hayati. Kalau nak rasa tomyam original thailand, bolehlah berkunjung disini. Makanan di sini semuanya sedap2 dan harganya agak berpatutan.
Antara tempat-tempat menarik yang sempat kami lawati adalah Damnern Saduak Floating Market dan juga Thai Village. Di Floating Market, kami dapat melihat peniaga-peniaga yang menjual barangan di dalam sampan. Kami berkesempatan menaiki bot menyusuri sungai ini untuk melihat aktiviti perniagaan di sepanjang sungai ini. Satu keadaan yang amat unik dan ianya merupakan salah satu tarikan kepada pelancong di Thailand.
Thai village merupakan sebuah sebuah perkampungan yang dibina bagi kemudahan pelancong untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi mengenai kebudayaan dan cara hidup masyarakat Thai. Di sini kami berpeluang menunggang gajah dan melihat persembahan kebudayaan yang menceritakan aktiviti dan cara hidup masyarakat thai. Persembahan ini mengambil masa kira2 satu jam.
Pada 24 Dis 2007, kami berangkat pulang ke Malaysia dengan menaiki pesawat Air Asia. Sebuah percutian yang sungguh menarik dan tidak dapat dilupakan di Bangkok, Thailand.